KPDNKK dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pada masa ini kementerian itu hanya mempunyai kuasa memeriksa dan menguat kuasa undang-undang terhadap permainan kanak-kanak di bawah usia 14 tahun, tayar dan topi keledar.

Kenyataan itu sebagai menyangkal laporan berita sebuah portal berita berkaitan automotif baru-baru ini yang memetik Pengarah Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohamad Dalib sebagai berkata pemeriksaan dan tindakan berkaitan penjualan filem penapis haba cermin kenderaan, siren kecemasan dan lampu keselamatan di bawah bidang kuasa KPDNKK.

"Ia tidak benar. Artikel itu boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan dikhuatiri KPDNKK akan dipersalahkan.

"Ini kerana ada pihak mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap premis yang menjual barangan itu bagi tujuan pencegahan," kata kenyataan itu.

Portal berita CBT Online pada 25 Mei melaporkan Mohamad sebagai berkata JPJ tiada kuasa menghentikan penjualan bahan-bahan berkenaan dan hanya KPDNKK boleh memeriksa dan melakukan rampasan barangan terbabit. - Bernama