Sunday 19 June 2011

Kesesuaian Penapis Haba (Tinted)

          Tidak dinafikan pemasangan filem penapis haba (tinted) yang berfungsi menapis suhu panas dari panahan matahari bagi keselesaan penumpang dalam kenderaan antara aksesori yang kian mendapat sambutan dari pengguna masa kini.
          Bagaimanapun, ramai yang salah faham mengenai filem penapis haba. Anggapan biasa menyatakan bahawa penapis yang lebih gelap adalah lebih baik mengurangkan pancaran haba. Ini SATU SALAH FAHAM YANG BESAR kerana filem penapis yang sebenarnya tidak berfungsi sebegini. Ia hanya akan menapis 2 perkara iaitu:
  1. Cahaya ultra-violet
  2. Haba panas
          Ia tidak akan menghalang cahaya lain atau memberi kesan kepada penglihatan!

          Sekiranya filem yang anda guna menyebabkan penglihatan anda terbatas terutama pada waktu malam, ada yang tidak kena dengan filem itu. Ada kebarangkalian filem penapis haba yang sebegini memang tidak elok digunakan dan berbahaya! Bagi mengelakkan setuasi sebegini, adalah penting bagi pengguna untuk mengetahui latar belakang produk yang bakal dipasangkan pada kenderaan mereka.
          Satu lagi ciri-ciri filem penapis yang baik dan berkesan adalah ia akan mengurangkan silau dari lampu kenderaan lain tanpa mengganggu penglihatan. Ini amat berguna bagi tujuan pemanduan di waktu malam. Ketelusan cahaya sama jelas, tetapi silauan dapat dikurangkan!
          Pengguna perlu berhati-hati kerana tidak semua filem solar penahan haba di pasaran berkualiti serta menepati syarat yang ditetapkan pihak berkuasa. Kebanyakan pengguna tidak tahu bagaimana sukatan yang betul untuk filem penapis haba kenderaan mereka.
          Rata-rata hanya mahu cermin gelap dan kurang haba dalam kereta. Sebetulnya, setiap cermin yang dipasangkan filem harus menepati peraturan.

Cermin depan harus mempunyai penembusan cahaya sekurang-kurangnya 70% manakala cermin belakang dan sisi pula 50% ketelusan cahaya.
          Jika ini gagal dipatuhi, kompoun RM300 mungkin dikenakan kepada pemilik kenderaan terbabit jika dikesan pihak berkuasa. Bagi memastikan kenderaan anda mematuhi semua peraturan ini, ujian yang dikenali sebagai kadar peratusan VLT ataupun ketelusan cahaya boleh dijalankan ke atas setiap cermin kenderaan.
Ini akan memastikan anda terkecuali daripada sebarang tindakan undang-undang. Sebaiknya, sebelum membuat keputusan untuk memasang filem terbabit, eloklah pengguna mengenal pasti terlebih dulu produk-produk yang menepati peraturan JPJ.
          Pengguna juga perlu bijak menilai pakej ditawarkan kerana ada yang tidak sesuai dipasang pada cermin kenderaan malah mungkin dikenakan tindakan kerana menyalahi undang-undang!

No comments:

Post a Comment